Pengurus PSG, Luis Enrique menganggap perlawanan antara AC Milan dan PSG tak ubah seperti perlawanan tenis. Ini selepas pasukannya kalah 2-1 di tangan AC Milan di San Siro.

Walaupun peminat bola sepak menikmati perlawanan yang saling berbalas serangan namun di mata Enrique dia tidak menggemarinya.

PSG sebelum ini menang 3-0 dalam aksi pertama. Dan mereka di landasan terbaik pada awalnya apabila Milan Skriniar meletakkan mereka di hadapan seawal minit ke-9.

Namun begitu, percubaan akrobatik Rafael Leao terus menyamakan kedudukan hanya 4 minit kemudian.

Pada separuh masa kedua, tandukan Olivier Giroud memastikan kemenangan buat AC Milan.

Enrique berkata: “Saya suka cara kami bermain apabila kami menjaringkan gol pertama dan mencipta banyak peluang. Cuma masalahnya, kami telah membantu mewujudkan perlawanan ini menjadi gila.”

Lantas Enrique menegaskan perlawanan di San Siro tadi seperti perlawanna tenis berbanding bola sepak.

“Ia sepatutnya menjadi perlawanan bola sepak bukannya tenis. Perlawanan ini saling berbalas serangan ke kotak penalti masing masing. Saya tak sukakannya.”

“Kylian Mbappe ada peluang keemasan sebanyak dua atau tiga kali, begitu juga Ousmane Dembele. Selepas Milan mendahului, mereka mengukuhkan pertahanan mereka dan keadaan menjadi sukar. Ianya perlawanan yang seimbang.”

“Saya nampak ada 2 pasukan yang sama sama kuat. Namun saya lebih sukan untuk mengawal perlawanan, tapi perlawanan ini sebaliknya saling serang menyerang.”

Dengan kekalahan PSG ini, bermakna kumpulan F yang dianggap kumpulan maut kembali terbuka kepada semua pasukan.

Enrique mengakui kumpulan ini sangat sukar. Dan dia juga terkilan kerana mereka gagal menggunakan peluang untuk mara lebih awal jika berjaya menang di San Siro.

Ditanya adakah AC Milan masih dikira pasukan handalan di Eropah? Enrique berkata: “Ya sudah tentu, mereka mara ke separuh akhir musim lalu.”

“Ini kumpulan sukar. Ada baki 2 perlawanan lagi dengan keempat empat pasukan masih berpeluang untuk mara ke pusingan 16 akhir. Ini adalah kumpulan paling sukar dalam UCL.”

“Saya kesal dengan pasukan kami kerana jika kami menang, secara praktikalnya kami sudah mara ke kalah mati.”